mutakhir

Kasihanilah anakku

Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: “Walaupun doktor memberitahu anak tunggal kami mempunyai jangka hayat untuk tempoh dua atau tiga tahun selepas disahkan mengidap penyakit hati kronik, tetapi saya akan berusaha memulihkannya kerana yakin pada Allah SWT.”

Begitu kata Mohd Zamani Mohd Azizan, 36, bapa kepada Muhammad A’ Ariz Daniel, setahun sembilan bulan yang menghidap penyakit hati kronik atau Billiary Atresia.

Dia kini merayu kepada orang ramai yang prihatin supaya membantu menghulurkan sumbangan bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan segera.

Mohd Zamani yang bertugas di sebuah agensi kerajaan, di sini, berkata, dia dan isteri Safinatul Hayah Abdullah Sani, 38, sedih apabila melihat anak mereka menanggung derita dalam usia kecil.

Menurutnya, pada masa sama, mereka juga tidak sanggup melihat perut anak yang semakin membusung selain seluruh badan berwarna kekuningan akibat penyakit berkenaan.

“Anak saya dikesan menghidap penyakit hati selepas dua bulan dilahirkan, dan dalam tempoh itu A’ Ariz baru sekali menjalani pembedahan untuk membuang hempedu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

“Doktor memberitahu A’ Ariz perlu menjalani rawatan di Hospital Selayang bagi pemindahan hati, tetapi memerlukan kos yang tinggi. Pada masa ini, anak saya perlu menjalani rawatan tiga bulan sekali di hospital berkenaan,” katanya yang mengunjungi pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Mohd Zamani yang mempunyai pendapatan RM1,400 sebulan, berhasrat mendapatkan rawatan pemindahan hati di India berbanding di hospital negara ini yang turut mempunyai kepakaran kerana tiada pilihan lain.

“Saya perlu mencari wang RM200,000 bagi membiayai pembedahan hati anak saya. Perkara yang membelenggu ketika ini ialah masa yang semakin singkat dan keadaan anak pula semakin teruk. Jalan terbaik menyegerakan pembedahan kerana tidak sanggup melihat anak terseksa.

“Fungsi hatinya merosot dan doktor mengesahkan A’ Ariz menghidap penyakit hati kritikal. Pada mulanya, kami menyangka ia hanya penyakit kuning biasa, namun keadaan bertambah teruk apabila mata dan kulitnya berubah kuning dan najisnya pula kuning pucat,” katanya.

Katanya, keadaan fizikal anaknya semakin berubah dengan perut bertambah membusung selain mata membengkak serta seluruh anggota lemah.

“Dia sudah tidak seperti kanak-kanak lain, tidak mahu minum susu, memuntahkan semula makanan dan sering menangis, mungkin kerana dia menanggung penderitaan.

“A’Ariz yang dilahirkan pada 16 Mei 2013 dengan berat 2.64 kilogram dan kini memiliki berat badan merosot antara tujuh hingga lapan kilogram, tidak normal bagi kanak-kanak seusianya.

“Saya dan isteri yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan dengan pendapatan RM1,900 sebulan tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menjalani pembedahan hati bagi memastikan anak kami kembali sihat dan menjalani kehidupan dan membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Pasangan itu yang menetap di Taman Mergong Jaya, di sini, merayu orang ramai yang bersimpati menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Disiarkan pada: February 11, 2015 @ 8:36am
d