mutakhir

Rayuan sampai penghujung

Kuala Lumpur: Laluan perundangan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu berhubung hukuman penjara lima tahun terhadap kes meliwat bekas pembantu peribadinya sampai ke penghujung dengan pilihan terakhirnya memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, kata pakar undang-undang.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana Mahkamah Persekutuan adalah badan perundangan tertinggi di negara ini dan apa jua keputusan dijatuhkannya tidak dapat dirayu.

Beliau berkata, Anwar hanya boleh dilepaskan daripada hukuman penjara jika mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Perkara ini tertakluk di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut pengampunan boleh diberikan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada BERNAMA.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berumur 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai lima anggota panel hakim, menyampaikan penghakiman itu dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan.

Ahmad Marthada berkata, Lembaga Pengampunan dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan tiga ahli yang dilantik, dan dipengerusikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pengampunan untuk pembebasan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk seseorang pesalah biasanya dibuat pada hari keputeraan Seri Paduka selepas pihak kerajaan mencadangkan kepada baginda berbuat demikian.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azmi Hassan berkata, ia satu manifestasi bahawa semua rakyat sama rata di bawah undang-undang.

“Ia adil tidak kira kepada rakyat biasa atau yang mempunyai kedudukan,” katanya.

Katanya, proses penghakiman juga mengesahkan mahkamah membuat keputusan atas dasar fakta yang dihujah dan bukannya kerana pengaruh luar misalnya seperti politik tempatan.

Penganalisis Politik, Dr Baharuddin Aziz berkata, keputusan itu satu keadilan kepada mangsa iaitu Mohd Saiful Bukhari yang selama ini berdepan tekanan yang hebat daripada masyarakat dan tohmahan pembangkang ke atas beliau.- BERNAMA

Disiarkan pada: February 11, 2015 @ 10:16am
d