mutakhir

Bukan cerita politik

Putrajaya: Kes Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan bukanlah cerita mengenai politik, tetapi mengenai cerita manusia dan perspektif badan kehakiman.

Peguam kanan pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, “Semua ini cerita mengenai semua manusia tanpa mengira kuasa, mereka sama rata di sisi undang-undang.”

“Kita semua mempunyai tanggungjawab kepada mangsa, lelaki muda yang juga pembantu peribadi Anwar yang mendapat perhatian dalam negara dan antarabangsa disebabkan kesilapan yang bukan dilakukan olehnya.

“Sepertimana semua mangsa jenayah berat, beliau mempunyai hak melihat aduannya disiasat dengan teratur oleh pihak polis dan mahkamah,” katanya ketika membacakan kenyataan pihak pendakwaan dalam sidang media di luar Mahkamah Persekutuan di sini.

Anwar semalam gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful, dan mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi Mahkamah Rayuan.

Keputusan itu dibuat lima anggota panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Muhammad Shafee turut meminta pihak media melihat kepada fakta kes dengan adil, menganalisis penghakiman dengan teliti serta menjalankan perkara ini sebaik mungkin demi masyarakat.

“Saya risau dengan segelintir pihak media yang menganggap mahkamah di Malaysia bertindak dengan adil hanya apabila keputusan mahkamah memihak kepada Anwar Ibrahim, dan mendakwa sistem kehakiman kita dikompromi apabila mahkamah memberikan keputusan sebaliknya,” katanya.

Muhammad Shafee, yang berpuas hati dengan keputusan hari ini, bagaimanapun berkata, “Ia tidak memberikan saya kegembiraan - kehidupan seorang pemuda dimusnahkan, berubah selama-lamanya.

“Lebih buruk lagi, tanpa berselindung, mangsa berhadapan sesi pemeriksaan balas selama tujuh hari dan semua pasukan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menyoal balas beliau,” katanya dengan menambah, yang proses keadilan memburukkan lagi penderitaan Mohd Saiful.

Muhammad Shafee yang dilantik sebagai ketua pendakwaan pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan berkata, manakala Anwar enggan berdepan pemeriksaan balas dan memilih hanya memberi secebis kenyataan dari kandang tertuduh.

Beliau menganggap tugas tersebut sebagai suatu yang sangat sukar, “Kerana apa yang menjadi kebiasaan bagi suatu kes biasa serangan seksual oleh majikan terhadap pekerjanya digunakan sebagai medan untuk menyerang reputasi badan kehakiman.”

“Jadi saya menyeru kepada semua yang berfikiran adil di Malaysia dan di luar negara mempertimbangkan dengan teliti sebelum membuat sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan sebenar di dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap penghakiman yang dibuat berdasarkan fakta, dan contohnya keterangan DNA, yang Malaysia mempunyai dua ciri utama dalam aspek penyiasatan DNA iaitu pertama, memerlukan 16 bacaan yang sepadan, dan kedua tiada perundangan di negara ini yang mewajibkan seseorang untuk memberikan sampel DNA.

“Tiada negara yang menuntut keperluan yang lebih tinggi. United Kingdom dan Amerika Syarikat membenarkan keperluan bacaan yang lebih rendah. Semua bacaan DNA yang menyokong kes ini berpadanan dengan bacaan 16 daripada 16 iaitu dalam erti kata lain ia padanan sempurna.

“Dan semua DNA didapati daripada ‘semen’, apabila lebih dipercayai berbanding DNA yang didapati daripada peluh. Anda tidak boleh curi, palsukan atau mencemarkannya,” kata beliau.

Muhammad Shafee berkata, apabila Anwar mencabar sampel pihak pendakwaan di mahkamah, beliau mempunyai peluang menawarkan sampel beliau sendiri sebagai suatu keterangan.

“Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh berbuat demikian dan menutup kes ini serta-merta. Namun beliau memilih untuk tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Selain itu notis alibi Anwar, yang pada mulanya suatu notis yang menyeluruh, dan dibuktikan palsu melalui rakaman CCTV yang ditayangkan kepada mahkamah, dan ini dibuktikan lama dahulu, katanya.

Selain itu, Anwar enggan bersumpah dengan al-Quran mengenai kejadian tersebut, sementara Mohd Saiful bersumpah dengan al-Quran mengenai butir kejadian itu di Malaysia dan juga di Makkah, yang juga tanah suci Islam.

“Kes seperti ini, di mahkamah tertinggi di Malaysia, terlalu teknikal: Dalam proses undang-undang sedia ada, dan dalam aspek keterangan, terdapatkah kemungkinan di mana proses sewajarnya tidak diikuti? Terdapatkah sebarang teknikaliti?

“Pada hari ini, jawapan daripada hakim adalah tidak. Pada hari ini, mereka memutuskan pada keputusan yang dibuat, serta keterangan yang sudah lama diuji dan dibentangkan,” katanya.- BERNAMA.

Disiarkan pada: February 11, 2015 @ 10:17am
d