mutakhir

Lancarkan perjalanan

Oleh Siti Fatimah Hassan

Subang Jaya: Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada 1.5 juta pengguna jalan raya yang dijangka menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sempena musim cuti Tahun Baru Cina disarankan mengikut Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dikeluarkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, pihaknya berharap kesedaran pengguna untuk menggunakan TTA itu meningkat pada musim cuti kali ini seperti ketika ia mula diperkenalkan pada 2008.

Katanya, berdasarkan rekod, peratusan pengguna jalan raya yang menggunakan TTA pada tahun lalu hanya 36 peratus.

“Kita amat berharap kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya untuk membantu kita mengagihkan trafik sempena musim cuti Tahun Baru Cina ini untuk memastikan aliran trafik menjadi lancar.

“Ketika TTA mula diperkenalkan pada 2008, peratusan pengguna jalan raya yang menggunakannya ialah sebanyak 62 peratus manakala 2009 (46 peratus), 2010 (61 peratus), 2011 (38 peratus), 2012 (51 peratus), 2013 (52 peratus) dan tahun lalu 36 peratus.

“Penurunan itu berlaku kemungkinan disebabkan ramai pengguna jalan raya menganggap pengguna lain menggunakan TTA, tetapi sebenarnya ia tidak berlaku,” katanya pada taklimat media persiapan PLUS menangani peningkatan trafik sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi.

Menurut Noorizah, pihaknya sudah mengagihkan TTA kepada orang ramai untuk mengatur perjalanan mereka pada hari puncak iaitu pada 17, 18, 21 dan 22 Februari ini.

Katanya, pengguna kenderaan Kelas 1 berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus sekiranya mematuhi TTA untuk perjalanan jarak jauh melebihi 100 kilometer (km) pada hari puncak serta membayar tol secara elektronik iaitu menerusi kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG.

“Bagi menggalakkan orang ramai bergerak untuk perjalanan jauh pada hari bukan puncak, kita turut memberikan rebat tol sebanyak 30 peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik bagi perjalanan melebihi 100 km pada 16 dan 23 Februari ini.

“Kami juga membuka laluan lorong keempat di lokasi kritikal iaitu di laluan Shah Alam-Jalan Duta-Restoran Jejantas Sungai Buloh serta laluan Nilai Utara-Seremban untuk melancarkan lagi pergerakan orang ramai di kawasan terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2015 @ 8:05am
d