mutakhir

Kayuhan budaya

Oleh Naqiukamil Abdullah

Shah Alam: Bagi meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand dalam bidang kebudayaan, Kelab Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) (KRESMA) menganjurkan pelancaran program ‘Kayuhan Antarabangsa UiTM Malaysia-Thailand 2015’.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, kayuhan yang bermula pada hari ini (semalam) bermula di UiTM Kampus Arau, Perlis dan berakhir di Koh Lanta, Krabi, Thailand pada 20 Februari.

Menurutnya, kayuhan sejauh 413 kilometer itu menjadikan dua universiti iaitu Universiti Prince of Songkla dan Universiti Thaksin, Thailand sebagai destinasi persinggahan untuk mempromosikan budaya Malaysia.

“Misi utama kayuhan disertai 30 peserta ini untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat luar dan dalam masa sama peserta juga turut didedahkan dengan budaya Thailand.

“Ekspedisi kayuhan jarak jauh ini dapat menguji daya ketahan mental dan fizikal penuntut UiTM selain memberi pendedahan kepada peserta berkolaborasi dan mendalami budaya luar negara.

“Peserta bukan saja dapat bertukar dan menghayati budaya Thailand, malah dapat melihat dan mengadaptasi peraturan serta undang-undang yang diguna pakai di sana,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program kayuhan ini, di sini, semalam.

Menurutnya, peserta ekspedisi kayuhan diiringi pegawai keselamatan dan kesihatan UiTM selain mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Pengarah Program Mohd Izzat Amran, 24, berkata, idea ini tercetus untuk menyambung perjalanan kayuhan pada 2012 dan menjadikan Arau sebagai tempat permulaan dalam siri jelajah kayuhan kali ini selain ia penganjuran kali pertama peringkat antarabangsa bagi KRESMA.

“Seramai 30 peserta daripada KRESMA yang terdiri daripada penuntut UiTM menyertai program ini selepas dipilih dalam sesi tapisan serta perlu menyertai latihan sebelum disenaraikan dalam program ini.

“Kita juga melakukan latihan intensif selama tiga bulan terakhir di sekitar Selangor dan peserta terdiri daripada penuntut UiTM cawangan Shah Alam, Puncak Perdana dan Puncak Alam,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2015 @ 7:40am
d