mutakhir

Peniaga didakwa cederakan isteri

Melaka: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen, semalam, atas tuduhan mencederakan isterinya menggunakan air panas di rumah mereka di Bachang, tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Rahman Abdul Kadir, 62, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Amran Jantan atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul Rahman didakwa menyebabkan isterinya yang berusia 50 tahun mengalami kecederaan parah dengan menyimbah air ubat akar kayu panas kira-kira jam 2 petang pada 26 Oktober 2014, di rumah mereka di Bachang.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal, memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, sekali gus mengenepikan rayuan tertuduh yang memohon dibenarkan jaminan yang rendah.

“Sebelum dituduh di mahkamah, tertuduh masih tinggal bersama mangsa dan dikhuatiri tertuduh akan melakukan sesuatu terhadap mangsa jika jaminan dibenarkan,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Amran memutuskan untuk menolak rayuan tertuduh supaya diberikan jaminan dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Disiarkan pada: February 13, 2015 @ 7:46am
d