mutakhir

Jiran lepas peluru sesat

Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Empat beranak yang sedang berkumpul di dapur rumah mereka nyaris maut terkena peluru sesat dipercayai dilepaskan seorang lelaki yang juga jiran mereka dalam kejadian di Kampung Padang Lalang, Lendu, dekat sini, pagi semalam.

Difahamkan, tembakan rambang daripada senapang patah berkenaan dilepaskan oleh jiran lelaki berusia awal 50-an itu dan dipercayai bagi menghalau anjing liar yang sering mengganggu ternakannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, mangsa, seorang pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sekitar daerah ini dikenali sebagai Norhidayah, 31, bersama tiga anaknya berada di ruang dapur ketika itu.

Norhidayah yang sedang bercuti sakit berkata, ketika kejadian dia memasak di dapur dengan ditemani tiga anaknya sebelum terdengar dua das tembakan dari arah luar sebelah kiri tingkap bilik tidur utama rumahnya.

“Saya sedang memasak sambil memerhatikan anak bermain di ruang dapur sebelum tersentak apabila mendengar bunyi dua letupan serentak yang sangat kuat seolah-olah amat dekat dengan cuping telinga.

“Saya dengan spontan terus memeluk ketiga-tiga anak yang ketakutan berlari ke arah saya sebelum memberanikan diri memeriksa keadaan setiap bilik dan tingkap di sekitar rumah, bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Apabila ke bilik tidur utama, saya dapati terdapat bahagian tingkap yang pecah akibat kesan terkena peluru pada bingkai kayu tingkap berkenaan sebelum saya menghubungi suami yang sedang mengajar ketika itu,” katanya.

Dia berkata, sementara menunggu suaminya pulang, dia menghubungi Balai Polis Alor Gajah untuk memaklumkan mengenai kejadian itu sebelum polis tiba untuk melakukan siasatan.

“Kami anak beranak bernasib baik kerana tidak berada dalam bilik tidur utama ketika kejadian,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

“Polis yang melakukan pemeriksaan di tempat kejadian menemui sebutir peluru penabur dipercayai dari tembakan senapang patah yang tersasar ke dalam bilik utama rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemilik senapang jenis Pump Gun itu turut dipanggil bagi memberi keterangan kes berkenaan.

Disiarkan pada: February 13, 2015 @ 7:46am
d