mutakhir

Kontraktor diculik dibunuh

Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Selepas gagal mendapat wang tebusan, seorang kontraktor mati dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dicampak di kawasan lereng bukit di Jalan Gayang Tuaran, dekat sini, awal pagi semalam.

Mayat mangsa lelaki berusia 31 tahun bagaimanapun ditemui oleh anggota polis selepas suspek berjaya diberkas di sekitar Luyang, di sini, jam 2 pagi semalam.

Menurut sumber, suspek berusia 30-an dikatakan menculik mangsa di kawasan tapak pembinaan di kawasan Bandar Sierra, dekat sini, pagi kelmarin.

“Selepas itu, suspek kemudian menghubungi ahli keluarga mangsa meminta wang tebusan membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit.

“Pada masa yang sama, suspek dikatakan sudah membunuh mangsa dengan menikam mangsa beberapa kali ditubuh badan sebelum mencampakkan mayat mangsa di lereng bukit di Jalan Gayang, Tuaran, dekat sini,” katanya di sini.

Sumber berkata, suspek kemudian menghubungi ahli keluarga mangsa untuk menuntut semula wang tebusan.

“Selepas berunding, ahli keluarga mangsa bersetuju memberikan wang tebusan sebanyak RM100,000 dan pada masa yang sama ahli keluarga mangsa menghubungi pihak polis.

“Suspek kemudian meminta perjumpaan di kawasan Luyang, di sini, jam 2 pagi, dan selepas itu suspek kemudian berjaya diberkas oleh anggota polis,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek, dia menunjukkan lokasi mayat mangsa dicampakkan.

“Berdasarkan soal siasat itu, polis kemudian bergegas dan menemui mayat mangsa dalam keadaan sudah tidak bernyawa tersandar di lereng bukit di Jalan Gayang Tuaran, dekat sini.

“Dalam pada itu juga, polis turut menemui kenderaan mangsa pacuan empat roda jenis Toyota Vigo di kawasan perumahan Telipok Ria, dekat sini,” katanya.

Difahamkan, mangsa dibunuh di lokasi berlainan sebelum mayatnya dicampakkan di lereng bukit di Jalan Gayang Tuaran, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Senior Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: February 13, 2015 @ 8:29am
d