mutakhir

Jijam didenda RM7,000

Ampang: Vokalis kumpulan rock Terra Rossa, Khairul Hizam Kaha atau Jijam dijatuhi hukuman denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan memiliki dan mengambil syabu, tahun lalu.

Majistret Zulyana Zulkapli mengenakan hukuman denda itu terhadap Khairul, 40, dan turut memerintahkan tertuduh berada dalam pengawasan polis selama dua tahun.

Jika gagal membayar denda itu, Khairul berhadapan hukuman penjara selama enam bulan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dan mengambil dadah jenis methamphetamine seberat 0.41 gram di kawasan Axis Astrium, Taman Cempaka, di sini, pada jam 4.30 petang, 10 Disember 2014.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya pada jam 7.15 malam, 29 Mei 2014 dan sekali lagi pada jam 6.30 petang, 10 Disember 2014.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM3,000 atau enam bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didenda masing-masing sebanyak RM2,000 atau enam bulan penjara.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: February 13, 2015 @ 8:33am
d