mutakhir

Denggi naik 59%

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Sebanyak 3,037 kes denggi dengan lapan kematian direkodkan bagi minggu kelima tahun ini dengan dua negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu Pahang sebanyak 60.6 peratus dan Kedah (19 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi minggu kelima iaitu antara 1 hingga 7 Februari lalu itu menunjukkan peningkatan jumlah kumulatif kes denggi iaitu meningkat sebanyak 59 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, analisis Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat 166 hotspot (61.7 peratus) daripada 269 hotspot masih mempunyai kadar pembiakan aedes melebihi satu peratus.

“Situasi ini sangat kondusif untuk penyebaran virus denggi terus berlaku disebabkan vektor (nyamuk aedes). Analisis sama menunjukkan, sebanyak 61 peratus daripada tempat pembiakan aedes didapati di rumah kediaman.

“Justeru, aktiviti membersihkan kediaman perlu dilakukan setiap minggu selain mematuhi beberapa nasihat lain termasuk melindungi diri dari gigitan nyamuk di waktu puncak gigitan iaitu awal pagi dan senja dengan menggunakan penyembur nyamuk atau memakai pakaian berlengan panjang atau seluar panjang,” katanya.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Denggi yang dipengerusikannya pada 12 Februari tahun lalu turut memutuskan beberapa langkah meningkatkan aktiviti kawalan denggi oleh pelbagai agensi.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan dengan kompaun maksimum RM500 bagi setiap kesalahan pembiakan dan didakwa di mahkamah bagi kes berulang.

Disiarkan pada: February 14, 2015 @ 5:29am
d