mutakhir

Bela nasib lelaki murung

Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Nasib seorang lelaki yang menghidap penyakit murung dan hidup bersendirian di rumah batu separuh siap peninggalan ibu bapanya di Kampung Ramuan Cina, Kecil, Lubok Cina, di sini, akhirnya mendapat perhatian pihak berwajib selepas laporan mengenainya dipaparkan akhbar ini, Rabu lalu.

Pegawai Kebajikan, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Mohd Zain Yunus berkata, pihaknya melawat lelaki terbabit, Zainurin Suman, 34, yang mengharapkan bantuan bagi membaiki rumahnya yang bocor dan usang.

“Kami sudah merujuk perkara ini kepada Pejabat Tanah Daerah untuk mendapatkan status Zainurin yang juga anak jati kampung berkenaan supaya tidak dipinggirkan sekali gus membantunya keluar dari belenggu kesusahan.

“Hasil daripada perbincangan itu pihak Pejabat Tanah Daerah bersetuju membantu membaiki rumah selain mendapatkan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah (JKM) Alor Gajah,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat disalurkan kepada Zainurin secepat mungkin, namun perlu melalui beberapa prosedur memandangkan lelaki itu belum berkahwin.

“Pihak kami tiada masalah cuma kami perlukan masa menyelesaikan beberapa perkara yang perlu ditangani kerana dia masih bujang kerana syarat untuk membaiki rumah sekurang-kurangnya pemohon mestilah memegang status berkahwin.

“Bagaimanapun, pihak JAPERUN sentiasa prihatin dengan masalah ini dan diharap dapat diselesaikan dengan berhemah tanpa pertikaian berbangkit supaya dia menjalani hidup lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal kebajikan Keluarga Negeri Datuk Latipah Omar berkata, lelaki terbabit perlu dibantu supaya tidak tersisih daripada masyarakat.

“Kami berpendapat dia layak menerima bantuan kemanusiaan cuma saya difahamkan dia perlu melalui beberapa proses permohonan yang didakwa pernah dibuat beberapa tahun lalu, tetapi terkandas separuh jalan,” katanya.

Harian Metro Rabu lalu, melaporkan keadaan hidup Zainurin yang tinggal seorang diri di rumah peninggalan arwah kedua ibu bapanya di Kampung Ramuan Cina, di sini, tanpa bekalan air bersih dan sering merindui arwah ibunya.

Lebih menyayat hati apabila Zainurin yang tinggal sendirian lebih rapat dengan arwah ibunya turut menyimpan beberapa koleksi pakaian serta baju kurung milik arwah sebagai peneman tidur bagi menghilangkan kerinduan.

Disiarkan pada: February 14, 2015 @ 5:29am
d