mutakhir

Tentera Darat sasar 10 peratus rekrut Cina, India

Port Dickson: Tentera Darat menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 10 peratus kaum Cina dan India daripada 4,500 rekrut yang diambil menjalani latihan setiap tahun.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, ketika ini penyertaan kaum Cina dan India dalam perkhidmatan TD masih kurang dan boleh ditingkatkan lagi.

Katanya, komposisi pelbagai etnik dalam TD sesuatu yang positif dan penting sebagai menzahirkan kecintaan dan semangat jati diri mereka untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara pada masa depan.

“Sekarang perkhidmatan TD semakin baik khasnya daripada kebajikan, elaun dan gaji yang sepatutnya dapat menarik minat kaum lain.

“Apa yang kita lihat kurangnya anggota tentera dari kaum lain terutama Cina dan India.

“Untuk siri ini 175/2014 untuk lelaki dan siri 37/2014 untuk wanita, 21 orang dari kaum India yang menyertai TD,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, dinilai dari segi gaji TD, boleh dikatakan agak tinggi iaitu gaji asas RM1,400 tidak termasuk elaun.

“Peluang ini perlu diambil kerana kami juga mengambil anggota rekrut yang ada diploma iaitu 23 orang untuk kali ini,” katanya.

Seramai 1,500 rekrut TD menyertai perbarisan berkenaan termasuk 33 rekrut wanita.

Raja Mohamed Affandi berkata, TD tiada masalah pengambilan anggota baru dan jumlah itu adalah sebahagian daripada 4,500 rekrut pengambilan setahun bagi mengisi kekosongan.

Sementara itu, pemenang kategori Perajurit Muda Jasmani Terbaik, S Ragunathan, 22, dari Jasin, Melaka berkata, dia gembira cita-citanya menyertai TD tercapai.

“Saya bangga menyertai TD dan lebih menggembirakan apabila terpilih memenangi kategori Perajurit Muda Jasmani Terbaik. Semua ini adalah kerana kerjasama berpasukan dan juga kerja keras semua pihak termasuk jurulatih,” katanya.

Pemenang kategori Perajurit Muda Akademik Terbaik, Nurul Huda Mohd Anuar, 25, berkata, dia berpuas hati dengan kejayaan merangkul kategori itu.

“Saya bangga dengan kejayaan ini dan membuktikan sifat lemah lembut wanita tidak hilang walaupun menjalani latihan keras setiap hari,” katanya.

Sementara itu, anugerah Perajurit Muda Lelaki Keseluruhan Terbaik diterima Muhammad Syazani Imran Zamrin, 18, dari Kluang, Johor yang juga anak sulung bekas tentera.

“Ayah baru saja bersara setahun lalu dan saya menyambung baktinya untuk negara. Bukan mudah menjadi anggota tentera dan kejayaan merangkul anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik hadiah untuk ayah, Pegawai Waran 11 (B) Imran Zamrin,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2015 @ 5:25am
d