mutakhir

11 fakulti terbaik di dunia

Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Kualiti pendidikan di Malaysia kian meningkat apabila 11 fakulti universiti di negara ini diiktiraf antara 100 terbaik di dunia sekaligus menarik minat lebih 135,000 penuntut luar negara menyambung pengajian mereka di sini.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pendidikan negara terbukti mempunyai kualiti setanding universiti terkenal di luar negara malah diiktiraf menyediakan pengajian memenuhi standard ditetapkan di peringkat global.

Beliau berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seharusnya meneliti terlebih dulu pengajian ditawarkan universiti tempatan sebelum melanjutkan pengajian di luar negara.

“Keadaan pendidikan negara menunjukkan peningkatan berterusan malah ramai tidak sedar 11 fakulti di universiti tempatan adalah antara 100 yang terbaik di dunia sekali gus menarik minat penuntut luar ke Malaysia.

“Kita jangan terlampau taksub menyambung pengajian di luar negara yang jelas memerlukan sumber kewangan tinggi. Cukuplah sekadar di universiti tempatan yang mempunyai kualiti setanding luar malah lebih bagus,” katanya selepas melancarkan Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2015 kali ke-11 di Dewan Utama Sultan Ahmad Shah Convention Centre (SASCC) di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr Asma Ismail dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2015 berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin dan berakhir hari ini menyediakan 120 gerai untuk pengunjung selain program seminar dan penerangan kepada pelajar lepasan SPM.

Idris berkata, antara fakulti yang diiktiraf antara terbaik itu adalah Fakulti Sains Alam Sekitar Universiti Sains Malaysia (USM), Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM).

“Kita juga ada menerima penuntut dari universiti di New Zealand dan Australia yang datang ke negara ini untuk menyambung pengajian mereka.

“Oleh itu, pelajar perlu buang stigma universiti luar adalah lebih baik daripada di Malaysia kerana kualiti pendidikan negara sudah terbukti dan mampu melahirkan graduan berdaya saing,” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2015 @ 5:27am
d