mutakhir

Elak kenaikan harga

Oleh Ibrahim Isa

Pagoh: Langkah kerajaan negeri membekukan eksport lima jenis ikan dan udang besar ke Singapura bermula 1 Januari lalu hingga 28 Februari ini dilihat berjaya memastikan bekalan makanan itu mencukupi menjelang Tahun Baru Cina selain mengelak kenaikan harga.

Selain itu bekalan sayuran di negeri ini turut pulih kecuali cili merah yang terpaksa diimport dari Thailand dan India bagi memenuhi permintaan pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed berkata, lima jenis ikan dibekukan eksport itu adalah kembong, cencaru, selayang, bawal putih dan tenggiri.

Katanya, kerajaan negeri turut mengurangkan import ikan air tawar seperti keli dan talapia kerana mendapati bekalan ikan jenis itu masih mencukupi.

“Semua usaha ini dilakukan bagi memastikan bekalan ikan di Johor mencukupi sama ada sebelum atau selepas perayaan Tahun Baru Cina.

“Malah, sebagai persediaan khusus untuk perayaan ini, kita mempunyai 300 peratus bekalan ayam sejuk beku selain 302 tan metrik daging. Jumlah itu cukup untuk menampung permintaan penduduk negeri ini,” katanya selepas Program Pengimarahan Masjid dan Surau Parlimen Pagoh di Bangunan Seri Pekembar di sini, semalam.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor Abd Mutalip Abd Rahim membabitkan sebanyak 44 masjid dan 88 surau dalam Parlimen Pagoh.

Disiarkan pada: February 15, 2015 @ 5:29am
d