mutakhir

NGO kecewa keputusan kerajaan

Shah Alam: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka Friend of KIDEX tidak puas hati dan kecewa dengan keputusan kerajaan Selangor membatalkan projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Wakil NGO itu, Mohamed Rafik Fazaldin berkata, pihaknya menyokong pembinaan KIDEX kerana kajian menunjukkan pembinaan lebih raya itu dapat mengurangkan kesesakan jalan raya antara 30 hingga 32 peratus.

Menurutnya, pembatalan projek berkenaan menyebabkan orang ramai akan terus menghadapi kesesakan jalan raya yang mungkin bertambah teruk pada masa depan.

“Banyak pembangunan baru diwujudkan di Petaling Jaya ini seperti PJ Sentral, The Pinnacle dan pelbagai lagi tetapi sistem jalan raya masih pada tahap lama.

“Sistem jalan raya lama sudah tidak mampu menampung kuantiti kenderaan yang semakin bertambah saban hari,” katanya.

Mohamed Rafik yang juga penduduk Seksyen 5 Petaling Jaya berharap, kerajaan negeri mengkaji semula keputusan berkenaan demi penduduk.

Sementara itu, Setiausaha politik bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Faekah Hussin berkata, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan pembinaan KIDEX.

“Ini kerana ia projek Kerajaan Persekutuan dan negeri hanya mempunyai kuasa untuk menahan kelulusan perintah pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Mohamed Azmin menggunakan istilah yang salah dalam mengeluarkan kenyataan yang menyatakan projek berkenaan dibatalkan dan ia memberi peluang kepada syarikat konsesi untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kerajaan negeri tiada hak untuk membatalkan KIDEX kerana ia projek Persekutuan dan perjanjian yang ditandatangani antara pemaju dan Kerajaan Persekutuan.

“Tanggungjawab negeri hanya mengeluar atau menahan perintah pembangunan untuk tanah yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk di Petaling Jaya, Samsuddin Hassan, 64, berkata Mohamed Azmin sepatutnya turun padang dan mendengar pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat keputusan membatalkan pembinaan KIDEX.

Menurutnya, pembatalan projek KIDEX seperti diumumkan kerajaan negeri itu semalam sangat mengecewakannya kerana ketika ini penduduk bukan saja terpaksa berdepan kesesakan tetapi ia juga membabitkan soal keselamatan dan kesihatan.

Disiarkan pada: February 17, 2015 @ 7:35am
d