mutakhir

Gaji pekerja lesap

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang kontraktor mengalami kerugian RM173,000, apabila wang untuk membayar gaji pekerja dan pembekalnya sempena Tahun Baru Cina disamun sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang dan tukul besi dalam kejadian berhampiran sebuah bank di Gunung Rapat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, kontraktor berkenaan yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu isterinya dihalang kereta jenis Toyota Vios dinaiki empat lelaki yang memakai topeng sebaik keluar dari sebuah bank di kawasan berkenaan.

Menurut isteri mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 34, kira-kira jam 11.30 pagi dia bersama suami ke bank berkenaan untuk mendepositkan wang bayaran kepada pembekal sebanyak RM3,000.

Katanya, sebelum itu mereka berdua menggeluarkan wang sebanyak RM176,000 di bank lain di kawasan Pekan Baru, di sini untuk membayar gaji pekerja serta pembekal sebelum cuti panjang perayaan Tahun Baru Cina.

“Sebaik keluar dari bank di Gunung Rapat, saya memandu kenderaan manakala suami duduk di bahagian penumpang depan dengan memegang beg silang mengandungi semua wang terbabit dan selepas kira-kira 100 meter memandu di Laluan Gunung Rapat 1, secara tiba-tiba sebuah Toyota Vios bertindak memotong kenderaan kami sebelum berhenti di depan menghalang laluan.

“Tiga lelaki yang memakai topeng dengan dua daripadanya bersenjatakan parang dan seorang lagi memegang tukul besi kemudian meluru ke arah kami serta bertindak menghentak cermin depan dan kedua-dua tingkap bahagian pemandu serta penumpang depan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti kesemua suspek.

Disiarkan pada: February 17, 2015 @ 8:35am
d