mutakhir

Berbalah status jenazah

Seremban: Kematian seorang warga emas yang juga seorang mualaf berusia 74 tahun menimbulkan perbalahan apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan keluarga lelaki itu masing-masing menuntut jenazah untuk dikebumikan mengikut agama masing-masing di rumahnya di Taman Seremban Jaya, di sini, semalam.

Jenazah A Razak Abdullah @M Macha dituntut Bahagian Dakwah JHEAINS untuk dikebumikan mengikut Islam, bagaimanapun keluarganya bertegas mengadakan upacara mengikut agama Hindu.

Keadaan bertambah rumit apabila keluarga tidak membenarkan jenazah dibawa pergi mengakibatkan anggota polis mengawal keadaan daripada berlaku kekecohan.

Keadaan menjadi parah sejurus beberapa pemimpin pembangkang menghalang pegawai JHEAINS menyebabkan jenazah dibakar di tempat pembakaran mayat di Jalan Templer, di sini.

Pegawai Bahagian Dakwah JHEAINS Mohd Zulkarnain Abdullah berkata, A Razak meninggal dunia di Rumah Orang-Orang Tua, Taman Bunga Blossom, di sini, jam 7.30 malam kelmarin dan rekod mendapati arwah beragama Islam.

Katanya, bagaimanapun keluarganya bertegas A Razak meninggal dunia dalam agama Hindu berdasarkan rekod pemeriksaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jelasnya sambil menunjukkan bukti, A Razak memeluk Islam pada 1970-an selepas berkahwin dengan isterinya, Kosnibatu Ibrahim yang juga India Muslim.

Menurutnya, bagaimanapun A Razak tidak memaklumkan kepada JPN mengenai status pertukaran agama menyebabkan keadaan menjadi sukar.

Menurutnya, hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan lima cahaya mata juga beragama Islam sebelum 5 Januari 1998 anak sulung arwah, Mumtaz, 40, menggunakan sijil sumpah daripada Suruhanjaya Sumpah bagi menukar namanya di JPN.

Disiarkan pada: February 17, 2015 @ 8:38am
d