mutakhir

Bayar RM8,000 jual jamu tak daftar

Kota Kinabalu: Padah menjual jamu ‘susuk dara’ tidak berdaftar, sepasang suami isteri didenda RM4,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Azreena Aziz turut memerintahkan tertuduh, Rashidi Sulaiman, 45, dan isterinya, Noor Azah Mohamad, 42, dihukum penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan fakta kes, pasangan itu didakwa menjual produk itu bersama sembilan produk kecantikan dan kesihatan lain (bukan keluaran berdaftar) di sebuah kedai di Wisma Merdeka, Kota Kinabalu, jam 10.40 pagi pada 17 September lalu.

Dalam serbuan dilakukan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), sebanyak 13 jenis produk disyaki bukan keluaran berdaftar dirampas.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati hanya tiga daripadanya mempunyai keluaran berdaftar manakala selebihnya termasuk ‘Produk Susuk Dara Jamu Pengganti Dara’ tidak berdaftar.

Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Nasyaruddin Simali dan T Radhika manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam perbicaraan berasingan, seorang wanita didenda RM5,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah memiliki kosmetik tanpa pengesahan pihak berkuasa.

Tertuduh, Normayah Md Yunus, 38, didakwa memilik 113 paket produk BSY Noni Black Hair Magic dan 36 kotak Collagen Plus Vitamin E Day & Night Cream di sebuah pusat kecantikan di One Place Mall, Putatan Square, Putatan, jam 2.50 petang pada 2 April tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka kemudian membayar denda berkenaan.

Disiarkan pada: February 17, 2015 @ 8:50am
d