mutakhir

Dua kali geleng

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Taiping: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan membunuh penuntut wanita Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang pada awal Februari lalu.

Tertuduh Syarafi Abu, 25, didakwa membunuh Norsyuhada Johari, 20, penuntut UiTM kampus Permatang Pauh Pulau Pinang di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, di sini, kira-kira jam 11.55 pagi, pada 2 Februari lalu.

Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang, tertuduh menggelengkan kepala sebagai tanda tidak memahami pertuduhan dibacakan berkenaan.

Ghim Siang kemudiannya sekali lagi bertanyakan kepada tertuduh sama ada memahami pertuduhan itu dan menjelaskan tertuduh bukan diminta membuat pengakuan bersalah atau tidak sebaliknya hanya memahami pertuduhan berkenaan.

Syarafi sekali lagi dilihat menggelengkan kepalanya walaupun jurubahasa cuba menjelaskan kepadanya pertuduhan berkenaan dengan lebih jelas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari kemudiannya memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan bedah siasat dan kimia masih belum siap.

Ghim Siang kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 April ini dan memerintahkan tertuduh ditahan reman sehingga kes berkenaan disebut semula.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Disiarkan pada: February 17, 2015 @ 8:51am
d