mutakhir

45 daripada 46 biak nyamuk aedes

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Ops Gempur Tapak Binaan dijalankan Kementerian Kesihatan di sekitar Lembah Kelang antara 10 hingga 14 Februari lalu mendapati sejumlah 45 daripada 46 tapak binaan yang diperiksa positif pembiakan nyamuk aedes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi berkenaan dilancarkan menerusi penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP) terutama di daerah yang mencatatkan peningkatan kes denggi.

Beliau berkata, daripada 45 tapak binaan itu, sebanyak 39 arahan penutupan premis tapak binaan dikeluarkan kepada pemaju yang melakukan kesalahan dan mereka diminta supaya mengambil tindakan pencegahan dan pembersihan dengan kadar segera dalam tujuh hari.

“Kami juga membuka 45 kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah atas kesalahan membenarkan pembiakan serangga pembawa penyakit.

“Operasi berkenaan dijalankan oleh satu skuad khas yang dibentuk di peringkat kementerian dengan kerjasama jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah dengan kawasan sasaran termasuk tapak binaan yang terletak di kawasan jangkitan denggi serta kawasan berhampirannya,” katanya semalam.

Dr Noor Hisham berkata, operasi itu dijalankan secara mengejut agar keadaan sebenar di tapak binaan dapat dinilai dan tindakan lebih tegas dikenakan bagi tapak binaan yang didapati membiarkan pembiakan nyamuk berlaku.

Selain itu, tindakan mahkamah dilakukan bertujuan meningkatkan kesedaran di pihak pemaju tapak binaan supaya lebih prihatin mengenai kesejahteraan masyarakat di persekitaran.

Katanya, jika sabit kesalahan, denda maksimum sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau lima tahun penjara bagi atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berulang.

Disiarkan pada: February 18, 2015 @ 8:57am
d