mutakhir

Melecur pindah asid

Oleh Azahar Hashim

Kulim: Seorang pemandu lori melecur di badan, muka dan tangan selepas terkena semburan asid sulfurik ketika melakukan kerja memindahkan bahan kimia terbabit dari lori tangkinya ke tangki simpanan sebuah kilang di Kawasan Kulim Hi-tech, di sini, semalam.

Pegawai Operasi Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Penguasa Bomba Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.50 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hitech dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, anggota bomba menemui seorang lelaki berusia 58 tahun dalam keadaan melecur di muka, badan serta tangan dipercayai akibat terkena semburan bahan kimia terbabit.

“Anggota EMRS kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa melakukan kerja memindahkan asid sulfurik dari tangki lorinya ke sebuah tangki simpanan di kilang terbabit.

“Pengurusan kilang terbabit kemudian menghubungi pihak bomba untuk bantuan dan mangsa kini dilaporkan stabil serta tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2015 @ 9:07am
d