mutakhir

6 individu ditahan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Culik dan bunuh. Itu nasib seorang ahli perniagaan jubin yang maut selepas diculik di tepi jalan berdekatan pusat beli belah Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Petaling Jaya, pada jam 1.40 petang, Jumaat lalu.

Mangsa wanita berusia 59 tahun itu diculik individu yang pernah bekerja dengannya sebelum ini dan menuntut wang tebusan RM2 juta.

Bagaimanapun, mangsa dibunuh dan mayatnya ditemui orang awam jam 10 pagi di tepi pantai di Sungai Udang, Pulau Pinang sehari kemudian yang jaraknya lebih 300 kilometer dari lokasi diculik.

Namun kecekapan polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan apabila menahan enam individu yang terbabit dalam kejadian itu dalam beberapa siri serbuan di Subang Jaya, Perak dan Pulau Pinang bermula jam 3.20 petang Sabtu lalu hingga 5.30 pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 28 tahun di Subang Jaya; Hentian Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Gua Tempurung, Perak; sebuah rumah masing-masing di Lorong Bukit Gambir dan Gelugor, Pulau Pinang.

Beliau berkata, suspek dikatakan menculik mangsa sebelum membawanya ke Pulau Pinang dan menghubungi keluarganya untuk meminta wang tebusan.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 5.50 petang sebelum satu pasukan khas Polis Bukit Aman dan Kontinjen Selangor ditubuhkan bagi menyiasat penculikan berkenaan dan mengesan suspek.

“Hasil penahanan suspek, polis merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Vellfire yang disewa suspek dan digunakan dalam kejadian itu selain beberapa telefon bimbit milik mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui orang awam sehari selepas dia diculik dan disahkan keluarganya yang membuat pengecaman.

“Semua suspek yang ditahan kini direman sehingga 22 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

Mohd Adnan berkata, polis kini berusaha mengesan seorang lagi suspek yang terbabit dalam penculikan ini iaitu S Vivegkananthaa, 23, yang alamat terakhirnya No 33, Changkat Minden, Jalan 6, Sungai Gelugor, Pulau Pinang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Deputi Superintendan Mohd Radzi Ahmad di talian 019-4418818 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Norazmi Yaacob di talian 019-8128911,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2015 @ 9:09am
d