mutakhir

Jom balik raya Cina

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Kerajaan akan meneruskan komitmen gagasan 1Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu memandangkan Wawasan 2020 semakin hampir,” kata Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina 2015.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga terus meningkatkan tahap kecekapan dan integriti perkhidmatannya dalam usaha membantu semua komuniti.

Beliau berkata, Tahun Baru Cina mengingatkan rakyat kepada kepelbagaian yang menjadikan Malaysia negara luar biasa.

“Fabrik negara kita ditenun oleh pelbagai etnik, bahasa dan kepercayaan yang melengkapkan Malaysia.

“Dalam kepelbagaian ini kita meraikan, menghargai dan melindungi,” katanya dalam blog NajibRazak.com semalam.

Najib berkata, Tahun Baru Lunar antara perayaan yang disambut secara besar-besaran di negara ini kerana ia menggambarkan permulaan baru kalendar Cina dan sekali gus bermulanya lembaran baru kehidupan.

Kata beliau, ia juga masa bagi keluarga dan sahabat handai berkumpul sambil menghargai yang lama dan meraikan yang baru.

“Hari ini, kita semua adalah tetamu yang diundang ke rumah jiran daripada kaum Cina dalam semangat sebenar 1Malaysia, untuk meraikan budaya masyarakat Cina yang kaya dengan tradisi.

“Saya sekeluarga sentiasa menghargai layanan kaum Cina Malaysia, lebih-lebih lagi semasa sambutan ini,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengalu-alukan kunjungan para pelancong pada musim perayaan Tahun Baru Cina dengan harapan keunikan pemandangan, gema suara dan suasana yang lahir daripada temasya itu memberi inspirasi kepada walau di mana mereka berada.

Katanya, di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang tahun lalu tahun baru itu bakal membuka lembaran bagi Malaysia dan berharap Tahun Kambing terus membawa keharmonian serta perpaduan kukuh kepada Malaysia.

“Dan semoga Tahun Kambing juga membawa kebahagiaan, kemakmuran dan kesihatan kepada kita semua. Selamat Tahun Baru Cina,” kata beliau.

Disiarkan pada: February 18, 2015 @ 9:44am
d