mutakhir

'Tanyalah kita sepatah'

Kota Bharu: “Kalau tanya kita sepatah, elok sikit lah tapi SPR tidak buat. Itu yang kita terkilan sikit,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam yang menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, di sini, pada 22 Mac depan, tarikh penamaan calon pada 10 Mac dan pengundian awal pada 18 Mac.

Mohd Amar berkata, pemilihan tarikh itu kurang dipersetujui pihaknya kerana bertembung dengan Sidang DUN yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Mac.

“Sidang DUN tak boleh ditangguhkan, tapi kita terkilan, SPR sepatut ambil kira semua aspek sebelum memutuskan tarikh PRK.

“Pada pandangan kita, SPR kalau boleh tanya khabar dululah, apa-apa ‘event’ besar berlaku dalam negeri kerana kita pada 16 hingga 19 Mac ada Sidang DUN.

“Jadi mengganggu sikitlah dari segi perjalanan (PRK dan DUN),” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan bagaimanapun berkata, pihaknya akan berjuang untuk PRK dan kini sedang memulakan persiapan mengatur pertemuan dengan jentera parti.

Mengenai calon, katanya perkara itu masih belum diputuskan termasuk kriteria calon bagi menggantikan tempat penyandang terdahulu iaitu Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia 12 Februari lalu akibat kanser prostat.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, pemilihan tarikh bagi PRK bertepatan dan tidak memberi kesan kepada program kerajaan negeri termasuk Sidang DUN.

“Walau bagaimanapun, tarikh (Sidang DUN) tidak bertindih dengan Hari Penamaan Calon (10 Mac) manakala Hari Mengundi pula pada 22 Mac, yang bertindih hanya empat hari dalam tempoh 12 hari untuk kempen rasmi.

“Biasanya kempen pada waktu malam. Jadi kesimpulannya ia tidak memberi kesan sangat,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2015 @ 5:17am
d