mutakhir

2 pelajar universiti ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Tindakan dua penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Selangor (UNISEL) memuat naik poster mengancam mahu meletupkan mahkamah dengan mercun di laman sosial Facebook (FB) mengundang padah apabila mereka ditahan polis petang kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua penuntut berusia 20-an ditahan di ibu kota selepas memuat naik status yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Menurutnya, mereka akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

“Bagaimanapun kes ini berbeza dengan penyebaran video oleh empat lelaki yang turut mengancam mahu meletupkan mahkamah dengan mercun Isnin lalu.

“Hal ini bukan main-main malah saya sudah bercakap banyak kali supaya tidak mengancam atau mengugut.

Bagaimanapun penahanan dua penuntut terbabit tiada kaitan sama sekali dengan video yang tersebar sebelum ini,” katanya selepas menghadiri Kempen Balik Kampung sempena operasi ‘Op Selamat 2015’ di Plaza Tol Tunku Abdul Halim (Plaza Tol Duta) di sini, semalam.

Khalid berkata, polis masih mengesan empat individu terbabit bagi membantu siasatan itu.

Harian Metro Selasa lalu melaporkan satu video provokasi oleh kumpulan menggelarkan diri sebagai Anak Muda Malaysia mengugut mahu mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah dengan menyerang mahkamah.

Sementara itu, USM dalam kenyataannya akan memberi kerjasama dan sokongan kepada pihak berkuasa berhubung tangkapan seorang penuntut universiti itu yang memuat naik gambar berunsur mercun sebagai provokasi meletupkan mahkamah.

Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Omar Osman berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat terperinci berhubung penangkapan penuntut yang turut dikaitkan dengan IS itu.

“Kami bersedia memberikan kerjasama, sokongan dan bantuan apa sahaja yang perlu dalam memastikan perkara itu dapat ditangani sebaik mungkin.

“Kita akan akur kerana USM juga memandang serius isu berkaitan keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu pihak pengurusan Universiti Selangor (UNISEL) mengesahkan seorang penuntutnya ditahan polis ekoran memuat naik poster berunsur provokasi membantah sistem kehakiman negara.

Ketua Komunikasi Korporat UNISEL Hasril Abu Hassan berkata, pihak UNISEL tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung penahanan penuntutnya itu.

“Penahanan pelajar terbabit adalah untuk membantu siasatan berhubung isu memuat naik poster ke dalam laman sosial Facebook (FB) yang mungkin dianggap satu kesalahan bagi pihak berkuasa.

“Untuk tidak mengganggu siasatan berhubung perkara berkenaan, pihak universiti tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan bercanggah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Disiarkan pada: February 19, 2015 @ 5:19am
d