mutakhir

JKM bela OKU

Butterworth: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang tampil membela nasib orang kurang upaya (OKU) Siti Aminah Jamalluddin, 24, apabila memberi bantuan segera wang tunai selain mendapat elaun pekerja cacat (EPC) sebanyak RM350 sebulan berkuat kuasa pada bulan ini.

Pengarah JKM Pulau Pinang Zaitol Salleh berkata, Siti Aminah layak menerima elaun EPC itu berikutan dia melakukan kerja sambilan di rumah dan berstatus pekerja OKU.

Beliau berkata, bantuan EPC itu bertujuan menggalakkan OKU bekerja serta berdikari bagi menambah pendapatan, termasuk bekerja secara sambilan di rumah.

"Sebelum ini, JKM tidak menerima maklumat berkaitan Siti Aminah kerana sebelum ini dia menetap di Jempol, Negeri Sembilan.

"Selepas berkahwin, baru dia menetap di sini dan JKM meluluskan dia layak menerima EPC selepas mengetahui dia melakukan kerja sambilan di rumah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan segera dan kerusi roda baru serta beberapa barangan keperluan kepada Siti Aminah di rumahnya di Bagan Dalam, semalam.

Selain itu, program gotong-royong turut diadakan di rumah Siti Aminah yang membabitkan 50 sukarelawan membabitkan pegawai dan kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), JKM Pulau Pinang, Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia, Sukarelawan Kebajikan Daerah SPU dan empat pelatih Perintah Khidmat Masyarakat.

Disiarkan pada: February 19, 2015 @ 5:23am
d