mutakhir

Ada cerita lain pula

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Siasatan berhubung kes seorang lelaki maut terjatuh dari tingkat sembilan Apartmen Sri Wangi, Taman Tampoi Indah, di sini, 22 Januari lalu membuka lembaran baru apabila polis menahan sepasang suami isteri kerana membuat laporan palsu.

Wanita berusia 30-an itu ditahan bersama suaminya selepas dia membuat laporan polis palsu kononnya cuba dirogol lelaki berusia 32 tahun itu sebelum ditemui mati di bawah blok apartmen berkenaan dalam kejadian jam 1.05 petang itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata, siasatan mendapati si mati datang ke rumah wanita berkenaan untuk menuntut hutang.

Katanya, berlaku pertelingkahan antara suami wanita itu yang berusia 30-an dengan mangsa sebelum berlaku pergelutan membabitkan penggunaan senjata tajam.

“Siasatan polis mendapati tidak berlaku sebarang kejadian cubaan merogol seperti didakwa wanita berkenaan.

“Niat mangsa ke rumah wanita itu hanya untuk menuntut hutang daripada keluarga berkenaan.

“Bagaimanapun berlaku pergaduhan menyebabkan mangsa terjatuh dari bangunan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat dan Kempen Rumah Selamat sempena Tahun Baru Cina 2015 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di Plaza Tol Plus, Kempas, di sini, semalam.

Katanya, polis kini di peringkat akhir melengkapkan siasatan berhubung kes itu termasuk mengheret pasangan suami isteri terbabit ke muka pengadilan.

Pada 24 Januari lalu, akhbar ini melaporkan berkaitan maklumat diperoleh polis daripada wanita berkenaan yang mendakwa lelaki yang ditemui mati di bawah apartmen itu cuba merogolnya.

Wanita itu mendakwa mangsa menghubunginya untuk berjumpa jam 11.30 pagi, namun dia menolak kerana ingin keluar bekerja.

Bagaimanapun katanya, mangsa tiba-tiba meluru masuk ke rumah berkenaan dan mengheretnya serta menghentak kepalanya di lantai.

Wanita berkenaan menyatakan mangsa cuba merogol dengan menarik seluarnya, namun dia menghalang apabila menendang kemaluan suspek untuk melepaskan diri.

Disiarkan pada: February 19, 2015 @ 5:24am
d