mutakhir

Tiada kompromi

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki 1,620 peket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM2,990.40, dua minggu lalu.

Majistret, Noor Zaihan Mohamad Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Osman, 32, dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh ditangkap.

Mengikut kertas pertuduhan, Osman didakwa melakukan perbuatan itu di bilik nombor 2, Asrama Pekerja di Blok 5, FELDA Lepar Hilir 8, Gambang, dekat sini, jam 3.30 petang pada 6 Februari lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf berkali-kali dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakangnya yang baru berkahwin dan perlu menanggung keluarganya di Bangladesh.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan memandangkan kekerapan jenayah itu semakin berleluasa.

Beliau berkata, perbuatan tertuduh jelas membelakangkan undang-undang apabila mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual rokok berkenaan selepas diberi permit sah untuk bekerja di negara ini.

“Minggu ini saja, ada lima kes sama didakwa di mahkamah di seluruh Pahang menunjukkan kekerapan jenayah ini,” katanya.

Katanya, selain itu gejala penjualan rokok seludup menyebabkan Malaysia kehilangan hasil cukai besar yang boleh digunakan untuk pembangunan negara.

“Dalam kes ini, negara kehilangan hasil cukai hampir RM15,430.02. Tertuduh jelas menunjukkan sikap tidak menghormati undang-undang negara ini,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, anggota kastam yang membuat pemeriksaan di premis milik tertuduh ketika kejadian, menemui rokok seludup pelbagai jenama yang dilarang import.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang peniaga, R Navin, 23, dipenjara 10 hari dan didenda RM800, selepas mengaku bersalah memiliki 49 peket rokok seludup bernilai RM463.17, minggu lalu.

Majistret, Noor Aisah Mohamed ketika menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan hari jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Navin yang berasal dari bandar ini didakwa melakukan perbuatan itu di Vasugi Mini Mart, A7, Taman Dato’ Abdul Rashid, Jalan Pintasan-Pelabuhan, dekat sini, jam 3 petang pada 11 Februari lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai rampasan dan penjara tidak kurang tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: February 19, 2015 @ 5:41am
d