mutakhir

20 hari satu beca

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Membuat beca bukan satu perkara mudah, tetapi memerlukan ketelitian dan kemahiran yang tinggi bagi memastikan kepuasan pembeli serta menjamin keselamatan mereka dan penumpang.

Terkenal dengan kemahirannya, Choo Yew Choon, 57, kini masih lagi meneruskan aktiviti membuat dan membaiki beca yang rosak.

Choo berkata, kemahiran itu diwarisi daripada bapanya yang bekerja di syarikat milik keluarga, Hup Huat Pulau Pinang yang pakar dalam membaiki basikal dan kenderaan beroda tiga termasuk beca serta kereta sorong penjaja.

Dia sebelum itu bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Perai dan mengambil alih perniagaan itu pada 1990.

Sebagai permulaan, dia membeli sebuah beca lama bagi mempelajari dan memahami proses pembuatan beca itu terutama pada pengayuh serta tempat duduk penumpang.

“Dahulu kedai ini beroperasi di Lebuh Chulia, tetapi kerana mempunyai beberapa masalah berkaitan pemansuhan kawalan sewa, ia dipindahkan ke Jalan Pintal Tali yang tidak jauh dari premis lama sejak 12 tahun lalu.

“Saya pembuat beca keempat dan terakhir di negeri ini. Tiga anak saya tidak menunjukkan minat terhadap pembuatan beca,” katanya.

Choo berkata, dia boleh menyiapkan sebuah beca dalam tempoh 20 hari dan dijual dengan harga antara RM6,000 ke atas mengikut tempahan pelanggan.

Katanya, beca yang dibuat itu biasanya ditempah pihak hotel, pusat beli-belah atau individu yang berminat bagi mempamerkan kenderaan itu premis mereka.

“Kos membuat sebuah beca sekitar RM3,000, namun saya teruskan perniagaan ini kerana minat.

“Saya tidak pasti sampai bila industri ini akan bertahan, namun berharap ada individu yang dapat meneruskan kesinambungan pembuatan beca,” katanya.

Dari segi sejarah, sebelum kemunculan beca, lanca atau ‘jinrickisha’ iaitu kenderaan dua roda yang ditarik secara berlari diperkenalkan di Pulau Pinang pada 1926 bagi membawa penumpang dan barang.

Terdapat 3,821 lanca didaftarkan dengan Jabatan Kenderaan Pulau Pinang pada 1927 membabitkan 3,441 kenderaan awam dan 380 lagi sebagai kenderaan persendirian.

Namun, populariti lanca menurun pada 1941 apabila kenderaan berkayuh dengan tiga roda atau beca diperkenalkan dan sebanyak 1,523 beca didaftarkan pada 1967, tetapi hanya sebuah lanca yang didaftarkan manakala pada 1968 pula, tiada lanca didaftarkan semula menyebabkan ia ditelan zaman.

Bilangan beca yang didaftarkan terus meningkat sehingga 2,559 buah pada 1970, namun tidak bertahan dan berkurangan mulai 1971.

Kini hanya tinggal 160 beca saja yang berdaftar dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan masih digunakan bagi membawa pelancong.

Ciri-ciri beca Pulau Pinang adalah mempunyai tempat duduk penumpang terletak di bahagian hadapan penariknya berbanding beca di negeri lain iaitu tempat duduk penumpang terletak di bahagian sisi kanan atau kiri penarik beca.

Terdapat mural beca dilukis pada dinding sebuah bangunan di Jalan Penang sebagai simbolik kepada kewujudan kenderaan itu yang pernah menjadi antara ikon Pulau Pinang.

Disiarkan pada: February 21, 2015 @ 5:20am
d