mutakhir

Stacy serba salah

Kuala Lumpur: “Saya akui apa yang dia umumkan (bercinta) itu tapi buat masa ini saya tak mahu cakap banyak dulu,” kata penyanyi Stracie Angie Anam atau Stacy, 25, mengenai pendedahan penyanyi Akim Ahmad yang mengesahkan mereka sudah menjalin hubungan cinta secara diam-diam sejak tiga tahun lalu.

Stacy berkata, keputusan merahsiakan hubungan berkenaan terpaksa diambil kerana mereka tidak berminat untuk berkongsi hal peribadi kepada umum sebelum ini.

Bagaimanapun, susulan tindakan Akim mendedahkan hubungan mereka, Stacy berkata, ia adalah perkara mengejutkan dan dia menerima pengumuman itu dengan perasaan bercampur-baur.

“Bukan kami tak mahu berkongsi selama ini tapi ada sebabnya kami berahsia untuk mengelakkan masalah atau cabaran lebih besar kalau kami bercerita dari dulu. Pada saya, bahaya juga kalau terlalu mendedahkan hal peribadi untuk tatapan umum.

“Bila dia (Akim) akhirnya buka mulut dan mendedahkan hubungan kami kepada umum saya tak tahu bagaimana nak respons sebab perasaannya seronok pun ada, malu dan segan juga ada. Tapi saya tak marah dia ambil keputusan itu (mendedahkan secara terbuka),” katanya.

Akim atau Afiq Hakim Ahmad, 24, tampil membuat pengakuan mengenai hubungan percintaannya dengan Stacy pada satu temuramah di radio Era FM, beberapa hari lalu.

Ia sekaligus mengejutkan semua pihak terutama peminat yang sering membuat spekulasi mengenai keintiman mereka selama ini.

Pengakuan Akim itu bukan saja mengejutkan peminat malah Stacy juga terkejut kerana tidak tahu-menahu dan dimaklumkan mengenai tindakan itu sehingga ia menjadi bualan hangat di media sosial susulan pengumuman berkenaan.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Akim berkata, keputusan untuk mendedahkan status hubungan mereka dilakukan sebagai persediaan untuk melangkah ke peringkat lebih serius antara dirinya dan Stacy.

Disiarkan pada: February 21, 2015 @ 5:21am
d