mutakhir

Memang mustahil!

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Baka babi tidak boleh dikacukkan dengan biri-biri memandangkan kedua-dua haiwan itu berlainan kromosom dan mustahil disenyawakan biarpun menggunakan kaedah sains.

Ini berikutan tersebarnya dalam media sosial mengenai gambar babi yang dinamakan babi mangalitsa yang kononnya dikacuk dengan baka biri-biri sehingga mendapatkan kebimbangan terutama umat Islam.

Sumber veterinar berkata, babi adalah haiwan monogastrik iaitu sistem pencernaan yang hampir serupa dengan manusia manakala biri-biri adalah ruminan iaitu memakan tumbuhan.

“Kedua-dua haiwan ini jika baka jantan dan betina disatukan masih tidak boleh disenyawakan kerana berlainan kromosom.

“Daging kambing atau biri-biri yang diimport masuk ke Malaysia tidak akan dibawa masuk dari negara Eropah tetapi diambil dari negara yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) yang mempunyai pengiktirafan halal dari Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, babi mangalitsa adalah babi berbulu pada badannya dan bukan disebabkan kacukan dengan biri-biri.

“Setakat hari ini (semalam) Malaysia tidak pernah mengimport barangan biri-biri atau kambing dari Austria dan Hungary.

“Malah, daging babi dan biri-biri juga berbeza kategori iaitu daging biri-biri adalah daging merah manakala daging babi pula di bawah kategori putih. Jadi perbezaan bagi kedua-dua jenis daging ini boleh dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, JAKIM menerusi Bahagian Hab Halalnya menasihatkan pengguna Islam di negara ini supaya tidak bimbang mengenai kemasukan daging berkenaan ke Malaysia atau kemungkinan berlaku kekeliruan dengan daging kambing atau biri-biri.

“Ini disebabkan daging kambing atau biri-biri yang diimport masuk ke Malaysia tidak dibawa masuk dari negara Eropah tetapi dari negara lain yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM.

“Semua loji sembelihan halal yang diluluskan melalui pemeriksaan ketat sebelum mendapat kelulusan. Dalam memberi kelulusan halal, peruntukan di dalam standard MS1500:2009 bagi makanan halal jelas menyatakan najis babi termasuk keturunannya dan terbitan daripadanya adalah kategori najis mughallazah,” kata satu kenyataan menerusi Facebook jabatan berkenaan.

Menurutnya, bagi penggunaan kulit, tulang dan bulu haiwan, standard barang gunaan Islam MS2200-2:2013 menjelaskan barangan gunaan halal yang bersumberkan bahan berkenaan tidak boleh mengandungi apa-apa bahan yang diperoleh daripada anjing, babi dan keturunannya termasuk juga semua terbitan daripadanya.

Disiarkan pada: February 21, 2015 @ 5:24am
d