mutakhir

Tak sempat tunai haji

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Hasrat seorang pemandu teksi untuk menunaikan haji bersama isterinya tahun ini tidak kesampaian apabila terbunuh selepas van dipandunya dihempap sebatang dahan pokok di Jalan Persiaran Putra berhampiran Akademi Koreksional Langkawi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa, Kamis Jani, 65, dari Kampung Huma, Mukim Ayer Hangat, di sini, dalam perjalanan menghantar penumpang ke jeti Kuah.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Bakniah Mat Sah, 60, mengakui terkilan kerana suaminya tidak sempat menunaikan haji selepas sabar menunggu giliran untuk menunaikan ibadat itu tahun ini.

“Arwah cukup seronok dan teruja apabila menerima surat pengesahan daripada Tabung Haji baru-baru ini yang membolehkan kami berdua menunaikan haji tahun ini.

“Sejak awal Januari lalu, setiap minggu kami hadir kursus haji bersama-sama, tetapi hasrat arwah nampaknya tidak kesampaian dan saya reda apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Langkawi (HL) di sini.

Bakniah yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian, cuma ada memberinya wang belanja RM50 sebelum keluar memandu teksi.

“Dia (Khamis) keluar dari rumah seperti biasa pada jam 10 pagi dan pada masa sama, saya mengambil upah memasak di sebuah restoran di Kampung Ayer Hangat.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 11 pagi saya terima panggilan telefon daripada anak saudara mengatakan arwah terbabit dalam kemalangan selepas van dipandunya dihempap dahan pokok,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, dua jentera serta bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dikerah ke tempat kejadian, dengan jentera pertama tiba pada 12.06 tengah hari.

“Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menghala ke jeti Kuah apabila tiba-tiba sebatang dahan pokok ru patah dan menghempap bumbung teksi sebelum mengena kepala mangsa.

“Difahamkan mangsa seorang lelaki Melayu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu, pihak bomba juga sudah memotong dahan pokok terbabit yang turut menghalang pergerakan lalu lintas.

Disiarkan pada: February 21, 2015 @ 5:28am
d