mutakhir

Tercampak ke gaung

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail dan Pretty Licha

Mukah: Perjalanan lima sekeluarga berakhir tragedi apabila tiga maut dan dua parah apabila Perodua Myvi dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 88, Jalan Sibu-Bintulu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Perodua Viva itu bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Hilux dan tercampak ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Tupong Tengah, Kuching, dalam perjalanan ke Miri.

Katanya, dua mangsa, Mohammad Rizal Lah, 32 dan ibu mentuanya, Salmah Abdullah, 50 meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang wanita dipercayai isteri kepada Mohammad Rizal, Adzuana Delima Edurus, 30, disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Dua lagi ahli keluarga iaitu Edurus Abdul Wahid, 60-an, dan Ainatul Mahdiah Edurus, 20-an, cedera parah dan masih menerima rawatan rapi di Hospital Sibu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux, Jesse Nyalu, 34, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sibu untuk tindakan lanjut sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Jimmy berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Selangau hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, akibat pertembungan itu, Perodua Viva tercampak ke dalam gaung manakala Toyota Hilux terbalik.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufiyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.52 malam.

Katanya, sebuah jentera dengan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Sibu dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak 72 kilometer dari balai bomba.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa sudah dikeluarkan orang awam, manakala dua lagi tersepit dalam kereta yang jatuh dalam gaung,” katanya.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, jenazah akan dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang dan ahli keluarga yang cedera akan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan selanjutnya.

Disiarkan pada: February 21, 2015 @ 5:31am
d