mutakhir

Harapan warga akademik terhadap PPPM (PT)

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global bakal ter laksana dengan adanya perancangan holistik dan terperinci sebagaimana disusun dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pendidikan Tinggi/PT).

Demikian pandangan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak yang melihat keperluan PPPM (PT) untuk dibangunkan seiring pelaksanaan pelan sama di peringkat prasekolah hingga lepas menengah sejak hampir dua tahun lalu iaitu PPPM.

“Bagaimanapun, beberapa perkara perlu diberi penekanan, antaranya jumlah penuntut aliran sains dan sastera yang perlu diseimbangkan di institusi pengajian tinggi (IPT) memandangkan ketika ini didapati penuntut sastera lebih ramai berbanding sains.

“Juga jurusan teknikal dan vokasional yang sangat penting kerana inilah bidang yang akan menyokong negara mencapai status negara maju,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed pula melihat Lonjakan 1 PPPM (PT) iaitu Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang sebagai intipati mengupayakan penuntut sebaik tamat pengajian.

Menurutnya, graduan perlu mampu mengisi peluang pekerjaan serta mencipta peluang pekerjaan dalam pengkhususan masing-masing.

“Kalau berkhidmat dengan majikan, graduan itu seharusnya berupaya mengembangkan perusahaan majikan itu atau dia sendiri menjadi majikan melalui landasan keusahawanan yang terbuka luas.

“Penekanan terhadap aspek ini dalam pelan bagi saya cukup baik dan inilah penanda aras kita untuk melihat perkembangan transformasi sektor pengajian tinggi negara sepanjang tempoh 10 tahun ini (sehingga 2025),” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi 2014/2015, Ervy Dian Sary Gusra berkata, pelan itu diharap mampu menangani aspek yang terlepas pandang oleh pihak universiti mahupun kementerian.

Antaranya, memansuhkan subjek sampingan yang kurang berimpak tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada subjek yang lebih berkait rapat dengan bidang dipelajari.

Seperti IPT di negara maju, katanya, modul pembelajaran di sana menjadikan tumpuan penuntut tidak lari, malah membolehkan penuntut lebih menguasai bidang itu.

“Apapun, saya yakin pelan ini memberi perhatian kepada aspek sebegini dan pelajar tidak sabar untuk mendalami kandungannya,” katanya.

Manakala Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Hanif Ramlan berharap industri dapat bekerjasama lebih erat dengan IPT bagi memastikan penuntut bersedia sepenuhnya menempuhi alam pekerjaan.

“Hakikatnya, apabila graduan melalui sesi temuduga pekerjaan sebaik tamat pengajian, segelintir majikan mahukan sesuatu yang tiada pada mereka.

“Mungkin industri perlu kerap tampil melakukan jelajah di IPT untuk memaklumkan apa yang mereka inginkan daripada kami (penuntut) supaya kami dapat mempersiapkan diri dengan ke perluan itu, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran kami,” katanya.

Menjelang beberapa minggu lagi sebelum pelancaran PPPM (PT), maklum balas berkaitan sektor pengajian tinggi kini dikumpul sebelum dianalisis untuk dimasukkan ke dalam laporan pelan yang akan dijadikan panduan pembangunan pendidikan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Disiarkan pada: February 22, 2015 @ 5:12am
d