mutakhir

2 parah, 3 cedera

Nilai: Dua individu parah manakala tiga lagi cedera apabila Proton Wira dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 285, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Plaza Tol Nilai, di sini, semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Zain Mustafa berkata, dalam kejadian jam 12.03 tengah hari itu, lima individu terbabit dipercayai pelajar berusia 20-an dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kuala Lumpur.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kereta dinaiki terbabit kemalangan bersama dua kenderaan lain iaitu Toyota Hilux dan Honda City.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 minit tengah hari dan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi bagi membantu.

“Setibanya di tempat kejadian, seorang lelaki dan seorang wanita parah akibat tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi lelaki dan dua wanita cedera dalam kenderaan sama,” katanya.

Menurutnya, pemandu Toyota Hilux dan Honda City dianggarkan berusia 30-an tidak cedera.

“Kemalangan ini membabitkan tiga wanita dan dua lelaki serta mereka ini dipercayai pelajar. Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kejadian dan punca kemalangan diserahkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa dibawa dengan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini.

Mohd Zain berkata, pihaknya memerlukan kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Dalam kemalangan itu, tiada kemalangan jiwa berlaku dan pemerhatian mendapati berlaku kesesakan jalan hampir 10 kilometer,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2015 @ 5:12am
d