mutakhir

Untuk kecemasan saja

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Usah salah guna laluan kecemasan jika mahukan perjalanan lancar dan selamat, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon.

Menurutnya, penggunaan laluan kecemasan tidak menyumbang kepada kelancaran aliran trafik, tapi hanya meningkatkan risiko kemalangan terutama di musim perayaan.

“Ramai pemandu beranggapan laluan kecemasan boleh memendekkan waktu perjalanan ketika aliran trafik sesak.

“Sebenarnya, tindakan sedemikian hanya mengundang lebih banyak risiko kemalangan.

“Tempoh perjalanan boleh dijimatkan jika pengguna jalan raya mematuhi had laju dan bergerak mengikut laluan masing-masing. Bukan berlumba di laluan kecemasan,” katanya.

Beliau mengulas rakaman video kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang terperangkap ketika kereta di hadapannya menukar laluan ke lorong kecemasan.

Rakaman berdurasi 22 saat itu dimuat naik seorang pengguna Facebook, Aini Foad, Rabu lalu dan menjadi viral dengan tontonan lebih 364,000 di laman sosial serta blog.

Pada durasi empat saat, penunggang motosikal terbabit gagal mengelak dan merempuh kereta di hadapannya.

Mangsa yang melambung ke lorong kecemasan bagaimanapun, bernasib baik apabila sempat bangun sebelum dirempuh kenderaan lain.

Menjelas lanjut, Dr Wong berkata, lorong kecemasan tidak sepatutnya disalah guna kerana ia tidak direka untuk menampung aliran trafik.

“Lorong ini diadakan khas untuk tujuan kecemasan saja termasuk kenderaan rosak dan pengendalian kes kemalangan.

“Di satu peringkat, ada kemungkinan berlakunya halangan di lorong kecemasan yang boleh menyumbang kepada kesesakan trafik yang lebih buruk.

“Jika pengguna terus bersikap mementingkan diri, tidak mustahil boleh berlaku kemalangan, sekali gus meningkatkan pelbagai risiko serta bahaya lain,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2015 @ 5:13am
d