mutakhir

Bikin filem pendek

Kuching: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dan Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) menawarkan peluang kepada belia setempat untuk mempromosikan keunikan dan keindahan Sarawak kepada masyarakat global, menerusi pertandingan filem pendek.

Pertandingan filem pendek AIFFA 2015-AZAM dianjurkan bersempena AIFFA 2015 susulan Sarawak menjadi tuan rumah acara itu tahun ini dari 9 hingga 11 April di Kuching.

Jurucakap penganjur Kerry Edison berkata, pertandingan itu terbuka kepada belia Sarawak berumur antara 18 dan 30 tahun, untuk mengemukakan penyertaan yang memaparkan keistimewaan dan keindahan Sarawak dari segi kebudayaan, acara, alam semula jadi, perniagaan, kraftangan dan keunikan lain untuk khalayak global.

Katanya, setiap filem pendek itu perlu berdurasi antara tiga hingga lima minit (termasuk nama pasukan penerbitan dan pemegang watak) yang memaparkan kepelbagaian, keistimewaan dan keindahan di Sarawak untuk menarik pelawat ke negeri ini.

“Semua kategori dan genre filem pendek (durasi tiga hingga lima minit) diterima termasuk drama, komedi, animasi, sains fiksyen, dokumentari, ‘experimental’ dan video muzik,” katanya.

Katanya, hadiah tempat pertama RM2,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM1,500 dan RM1,000, di samping trofi filem pendek AIFFA beserta hadiah tambahan berbentuk barangan.

Disiarkan pada: February 22, 2015 @ 5:13am
d