mutakhir

Berebut ladang sawit

Oleh Abdul Rahman Adam

Miri: Perbalahan menguasai kawasan ladang kelapa sawit berakhir tragedi apabila seorang pekerja ladang warga Indonesia maut ditembak seorang tuai rumah menggunakan senapang patah dalam kejadian di sebuah ladang di Kilometer 90 dekat Jalan Lama Miri-Bintulu, Niah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, mangsa yang dikenali sebagai Herman, 37, yang juga pekerja salah seorang pemilik ladang di kampung berkenaan maut di tempat kejadian akibat terkena satu das tembakan di dada yang dilepaskan suspek.

Difahamkan, pertikaian mengenai kawasan ladang itu bermula sejak penghujung tahun lalu apabila ladang milik sebuah syarikat persendirian yang ditinggalkan terbiar turut menjadi rebutan penduduk kampung di kawasan terbabit.

Sumber polis berkata, suspek yang juga tuai rumah berusia 57 tahun dipercayai mahu menguasai sepenuhnya kawasan ladang terbiar berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, suspek bersama anak lelaki dan seorang saudaranya pergi ke ladang terbabit untuk membuat tinjauan, namun dihalang mangsa kerana didakwa memasuki kawasan ladang yang dikatakan bukan miliknya.

“Berlaku pertengkaran antara suspek dan pekerja ladang itu, namun suspek yang gagal mengawal perasaan bertindak di luar dugaan apabila menembak mangsa.

“Berikutan kejadian itu, polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan manakala suspek ditahan kira-kira tiga jam kemudian di sebuah rumah panjang di Batu Niah, di sini,” katanya.

Katanya, anak lelaki suspek berusia 29 tahun serta saudaranya berusia 45 tahun turut ditahan ketika berada di rumah panjang berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 22, 2015 @ 5:14am
d