mutakhir

Lelaki menyamar polis diberkas

Sandakan: Padah menyamar sebagai anggota polis, seorang lelaki berusia 27 tahun diberkas selepas disyaki terbabit dalam kes samun dan curi, di Jalan Batu Sapi, di sini, Rabu lalu.

Sebelum kejadian, suspek dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Karamunting, di sini, antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi, ketika semua penghuninya sedang tidur.

Kejadian itu hanya disedari pemilik rumah jam 5.15 pagi selepas mendapati tiga keping cermin di tandas dibuka seseorang.

Bimbang melihat keadaan itu, mangsa kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mendapati beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit, jam tangan, wang tunai dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-max dianggarkan bernilai RM71,000 dilarikan.

Difahamkan, suspek kemudiannya memandu kenderaan itu sebelum menemui seorang wanita di stesen bas di Jalan Labuk yang sedang menunggu kenderaan untuk ke Pasar Besar Sandakan, jam 6.20 pagi.

Suspek kemudian dikatakan mempelawa wanita berusia 37 tahun itu menaiki kenderaannya untuk dihantar ke bandar.

Mangsa yang awalnya menganggap suspek adalah pengusaha kereta sapu, bersetuju menaiki kenderaan itu sebelum mula berasa curiga selepas mendapati laluan mereka bukan menuju ke arah bandar.

Mangsa kemudiannya meminta suspek memberhentikan kenderaan, namun lelaki itu memaklumkan dia seorang anggota polis dan mahu melakukan pemeriksaan ke atas wanita itu berhubung penyalahgunaan dadah.

Mangsa kemudian bertindak melompat keluar dari kenderaan dalam usaha melarikan diri namun berjaya ditahan suspek yang kemudian merampas beg duit dan menarik mangsa masuk semula ke dalam kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, tindakan suspek menarik mangsa dilihat orang ramai yang melalui kawasan itu menyebabkan lelaki berkenaan bertindak melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat awam, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di Jalan Batu Sapi, pada hari sama.

“Polis turut menemui beberapa barangan pada suspek dipercayai milik mangsa.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2015 @ 5:14am
d