mutakhir

Parah tersepit pada papan pemuka

Jasin: Hajat empat beranak untuk mengunjungi keluarga mereka sempena Tahun Baru Cina tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka cedera parah akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 28, Jalan Jasin-Merlimau di Semujuk, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Ho Mei Poh, 62, parah di kepala, patah tangan kanan dan cedera di muka selepas kereta Toyota Vios dipandu suaminya berusia awal 60-an terbabit dalam kemalangan.

Ketika kejadian, mangsa bersama suami dan dua anak mereka berusia awal 20-an dari arah Jasin menuju ke rumahnya sebelum kenderaan dinaiki dirempuh kenderaan lain dari arah Merlimau.

Menurut saksi yang ingin dikenali sebagai Rashid, 36, kejadian di percayai berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Estima dari arah Merlimau ke Jasin hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kereta sewa sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa.

“Orang ramai yang tiba di tempat kejadian cuba mengeluarkan penumpang hadapan yang tersepit, namun gagal sebelum kami hubungi pasukan bomba dan penyelamat yang tiba tidak lama kemudian,” katanya di sini.

Komander Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau Penolong Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, bomba menerima panggilan orang awam pada jam 4.12 petang dan sepasukan lapan pegawai dan anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau serta bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari tiba di lokasi kejadian bagi operasi menyelamatkan mangsa.

“Setibanya di tempat kejadian kami dapati mangsa seorang wanita warga emas cedera parah akibat tersepit pada papan pemuka dan kami menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kemalangan tiga kenderaan membabitkan sebuah SUV, kereta sewa serta sebuah kereta Toyota Vios.

“Difahamkan, mangsa seorang wanita parah di bahagian kepala, patah tangan kanan serta mata kanan dan seorang pemandu kereta sewa hanya cedera ringan dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala pemandu kereta Toyota Vios dan SUV terbabit serta dua penumpang Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 23, 2015 @ 7:37am
d