mutakhir

Sukar cari pengganti

Oleh Ismail Muhamad

Kota Bharu : “Saya akui memang sukar untuk menentukan calon yang layak untuk bertanding bagi menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka nanti,” kata Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai calon yang sesuai untuk bertanding PRK DUN Chempaka yang perlu dinamakan pada hari penamaan calon, 10 Mac ini.

Menurutnya, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS dan bekas Menteri Besar adalah tokoh dalam parti dan bukan sebarangan pemimpin, malah mempunyai pengaruh kuat di kawasan itu.

Sehubungan itu, katanya, calon PAS yang akan menggantikannya perlu berkaliber dan mempunyai ketokohan seperti Allahyarham, justeru, pihaknya perlu memperhalusi senarai calon sebaik mungkin.

“Kita masih menerima cadangan nama calon daripada pemimpin pelbagai peringkat, namun buat masa ini keputusan masih belum dibuat.

“PAS Kelantan juga belum ada senarai pendek calon lagi walaupun tarikh penamaan semakin hampir.

“Insya-Allah kita akan putus dalam sedikit masa lagi,” katanya yang ditemui pada Majlis Keterlibatan Bersama Ahli Politik Dalam Mendapatkan Sokongan Pencegahan Rasuah di sini, semalam.

Majlis itu anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaafar dan Pengarah SPRM Negeri Datuk Abd Aziz Aban.

Ahmad berkata, mesyuarat bagi menentukan calon yang akan bertanding akan dilakukan seminggu lagi.

“Insya-Allah kita akan ada calon yang terbaik dan perjalanan PRK berjalan lancar,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan anak kepada Allahyarham Nik Aziz iaitu Nik Omar akan dicalonkan, Ahmad enggan mengulas lanjut dan mahu semua pihak menunggu sehingga mesyuarat selesai.

Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari lalu di rumahnya di Kampung Pulau Melaka akibat kanser prostat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 Mac ini sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal pada 18 Mac selain hari pengundian pada 22 Mac ini.

Disiarkan pada: February 23, 2015 @ 7:51am
d