mutakhir

Angkara perokok!

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Seramai 400 penumpang feri yang dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Kedah cemas apabila feri yang mereka naiki diselubungi asap akibat tindakan seorang penumpang yang dipercayai menghisap rokok dalam tandas feri berkenaan di perairan Langkawi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari, feri dua tingkat My Ferry baru berlepas kira-kira 20 minit dari jeti Kuah, di sini, menuju ke Kuala Kedah.

Difahamkan, kepulan asap yang dikesan dalam feri dipercayai berpunca daripada tindakan seorang penumpang yang menghisap rokok dalam tandas feri berkenaan.

Sejurus kepulan asap dikesan, anak kapal segera mengarah penumpang memakai jaket keselamatan dan memaklumkan feri akan berpatah balik ke jeti Kuah.

Feri itu tiba di jeti Kuah pada jam 12.55 tengah hari dan semua penumpang dimaklumkan akan bertolak ke Kuala Kedah secepat mungkin dengan menaiki feri gantian.

Penumpang dalam feri terdiri daripada pelancong tempatan dan asing yang mahu pulang selepas bercuti sempena Tahun Baru Cina di Langkawi. Turut kelihatan sekumpulan pelajar yang mahu pulang selepas tamat cuti sekolah sempena cuti perayaan berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 23, 2015 @ 8:17am
d