mutakhir

Selimut hadang patukan ular

Jertih: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari Kampung Beris Pak Abu, dekat sini, nyaris maut apabila dipatuk seekor ular tedung senduk ketika tidur di rumahnya, semalam.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu bernasib baik apabila patukan reptilia berbisa itu tidak mengena sasaran di paha kirinya kerana dihadang kain selimut.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut Leftenan (PA) Mohd Suhaimi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.45 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa lebih lima minit untuk menjejaki ular berbisa ini yang akhirnya ditemui di bawah tilam.

“Kanak-kanak yang dipatuk ular tedung senduk ini sangat bernasib baik kerana patukan dihadang kain dan mangsa segera dirujuk ke Hospital Besut,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, ular berbisa sepanjang 1.5 meter itu kemudian dibawa pulang ke pejabat JPAM Besut dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) atau dilepaskan ke kawasan hutan yang jauh daripada penempatan penduduk.

“Kami berharap orang awam sentiasa mengambil langkah berhati-hati dengan ancaman haiwan berbisa ini.

“Pastikan kawasan persekitaran rumah bersih daripada semak dan sampah-sarap wajar dibuang ke kawasan yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang berhadapan dengan ular berbisa diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menghubungi JPAM di talian 09-6903991.

Disiarkan pada: February 24, 2015 @ 7:29am
d