mutakhir

'Pakatan Rakyat bukan milik DAP'

Oleh Ismail Muhamad

Kota Bharu: “Pakatan Rakyat bukan kepunyaan DAP, Pakatan Rakyat juga tidak ada ketua. Kalau dia tidak bersetuju, dialah yang keluar dari Pakatan Rakyat.

“Kenapa suruh kita keluar pula?” kata Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau menegaskan, PAS tidak akan tunduk kepada DAP yang terus-terusan menentang pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

Malah, katanya, DAP boleh keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya parti itu tidak bersetuju dengan usaha kerajaan negeri mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

“Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan diluluskan sejak 1993 sebelum ada Pakatan Rakyat, itu asasnya. Dalam isu hudud ini tidak ada persetujuan bersama, tapi tiada orang yang boleh menghalang orang lain.

“Maknanya DAP tak boleh halang PAS untuk meneruskan hudud, ini ada dalam perjanjian itu.

“PAS tidak pernah bersetuju untuk tidak melaksanakan hudud,” katanya pada majlis penjelasan hudud kepada media Kelantan di sini, malam kelmarin.

Ketika ditanya adakah PAS sedia berpecah, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, ia bergantung kepada DAP.

Malah katanya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat bahawa tak boleh halang pelaksanaan hudud kerana ia sudah diluluskan sejak 1993.

Katanya, Pakatan Rakyat hanya wujud pada 2008, jadi mana-mana parti tidak boleh sekat PAS daripada melaksanakan enakmen ini di Kelantan

Disiarkan pada: February 24, 2015 @ 7:32am
d