mutakhir

10,000 jawatan kosong PDRM

Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa ini mempunyai kira-kira 10,000 kekosongan jawatan di pelbagai peringkat dengan 2,000 daripadanya adalah Inspektor.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah permohonan itu membuktikan masyarakat semakin positif dengan pasukan itu malah permohonan di kalangan bukan Bumiputera juga semakin meningkat.

Beliau berkata, kekosongan jawatan Inspektor membuka peluang kepada graduan khususnya Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis) ke jawatan Kadet Inspektor melalui pengambilan pada 1 Mac ini.

Menurutnya, penyertaan mahasiswa dalam Kor Suksis memberi kelebihan kepada mereka menyertai pasukan beruniform itu sekali gus dapat menjimatkan kos.

“Namun mereka perlu menepati syarat yang ditetapkan antaranya CGPA (Nilai Gred Purata Kumulatif) melebihi 3.0, ujian fizikal, temu duga serta lulus Ujian Integriti Malaysia,” katanya yang ditemui semalam.

Kor Suksis dilancarkan secara rasmi di seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 24 Jun 2006 dan kini terdapat di 19 IPTA.

Kira-kira 1,075 Pegawai Kor Suksis dikenal pasti layak oleh Unit Kor Suksis IPTA dan mereka akan dipanggil untuk sesi ujian fizikal dan temu duga mulai 1 hingga 28 Mac ini.

Acryl Sani berkata, tempoh pegawai Kor Suksis yang berjaya diserap sebagai Kadet Inspektor lebih pendek berikutan mereka sudah mengikuti latihan dan teori ketika menuntut di IPTA.

Disiarkan pada: February 24, 2015 @ 7:37am
d