mutakhir

'Usah terus hukum'

Oleh Mohamad Hussin

Jitra: “Jangan terus menghukum sebaliknya kena siasat dulu,” kata Pengerusi Persatuan Jemaah Pondok-Pondok Kedah, Sobri Osman, mengulas dakwaan kononnya madrasah dan maahad tahfiz dijadikan sebagai pusat merekrut pengganas dan penyebaran ideologi jihad kumpulan militan Negara Islam (IS).

Sobri berkata, tidak adil sekiranya melabelkan institusi pengajian itu sebagai pusat melahirkan pengganas kerana boleh mencalarkan imej penghuninya secara keseluruhan.

“Walaupun seorang pelajar tahfiz perempuan cuba berjihad ke Syria ditahan polis baru-baru ini, bukan bermakna semua pelajar tahfiz atau pondok mempunyai keinginan sama. Saya yang mewakili persatuan pondok meminta pihak berwajib selidik terlebih dulu sesebuah tahfiz, madrasah atau pondok sebelum membuat dakwaan sebegini.

“Jangan terus menghukum sebaliknya kena siasat dulu sebelum membuat dakwaan berkenaan. Setakat ini saya memberi jaminan bahawa sekolah pondok di negeri ini belum ada pelajarnya yang terbabit dalam IS ke Syria.

“Tanggapan itu boleh memburukkan keadaan pusat pengajian agama di negara ini walaupun ia kes terpencil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 24, 2015 @ 7:39am
d