mutakhir

'Terpahat di ingatan...'

Oleh Ibrahim Isa

Pagoh: “Walaupun ketika itu baru berusia empat tahun, saya masih ingat bagaimana ibu dan adik mati berpelukan dibunuh komunis di atas rumah,” kata Jamilah Abu Bakar, 69, salah seorang mangsa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di sini, 65 tahun lalu.

Menurut Jamilah, ketika melihat benet tajam diacukan ke arahnya, dia ternampak ibu dan adik mati berpelukan dibunuh komunis di atas rumah dan ingatkan nyawanya turut melayang, tetapi mujur ketika itu ada penduduk kampung menyelamatkannya.

Katanya, sebelum kejadian dia bersama dua adik kembar, Hassan dan Hussin yang berumur dua tahun serta ibunya, Fatimah Yaaba tidur di rumah di berek Balai Polis Bukit Kepong sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan bertalu-talu.

“Ketika itu, saya baru berusia empat tahun dan apabila tersedar keadaan menjadi kelam kabut kerana balai polis diserang komunis.

“Tidak lama kemudian, saya melihat Hussin dan ibu mati berpelukan berlumuran darah manakala bapa Konstabel Abu Bakar Daud, tersandar di dinding sambil dadanya berlumuran darah.

“Tidak lama kemudian, pengganas komunis naik ke rumah dan mengheret saya keluar sebelum mencampak ke dalam longkang lalu cuba menghunus benet sebelum saya diselamatkan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Majlis Perhimpunan Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sempena Memperingati Hari Polis ke-208 di Muzium Polis Bukit Kepong di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 24, 2015 @ 7:58am
d