mutakhir

'Makan angin' van jenazah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat di negeri ini akan dikenakan tindakan tegas, termasuk ditangkap dan dibawa bersiar-siar menaiki van jenazah seperti dilakukan terhadap mereka yang tidak berpuasa.

Tindakan itu selaras dengan arahan semua pasar raya di Terengganu perlu ditutup mulai jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kaki ponteng juga akan ditempatkan di Pondok Moden Kaunseling bagi mengikuti sesi kaunseling dan mendalami ilmu bersama ustaz berpengalaman selain mendidik mereka agar tidak mengulangi kesalahan.

Katanya, sekiranya mengulangi kesalahan mereka termasuk didakwa ke mahkamah.

“Saya sudah berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membina Pondok Moden Kaunseling dan jika ia tidak menyalahi peraturan, pesalah yang berkelakuan kurang sopan atau berpakaian mencolok mata akan ditempatkan di pondok ini sebagai satu hukuman berbentuk pemulihan.

“Mereka akan ditahan di pondok itu selama dua atau tiga hari berpandukan kesalahan dan keperluan dengan harapan mereka berubah dan tidak mengulanginya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Lawatan Menteri Besar ke Wisma Persekutuan, semalam.

Ahmad Razif berkata, pihaknya bertegas kerana ramai menganggap perkara wajib itu sebagai remeh dengan tidak malu bersiar-siar di lokasi tertentu walaupun menyedari perlu ke masjid untuk solat Jumaat.

Katanya, MAIDAM diminta memperkemaskan undang-undang, termasuk mempelawa lebih ramai wanita mengisi kekosongan jawatan sebagai penguat kuasa wanita.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 walaupun berdepan pelbagai kecaman terutama bagi kesalahan mengikut Seksyen 33 iaitu orang lelaki berlagak seperti perempuan, Seksyen 34 (perbuatan tidak sopan di tempat awam) dan Seksyen 35 (mendedahkan tubuh di tempat awam).

“Jika mengikut hukuman sebenar, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, namun bagi permulaan saya meminta MAIDAM tidak mengenakan hukuman sebaliknya mengambil langkah mendidik,” katanya

Disiarkan pada: February 25, 2015 @ 7:37am
d