mutakhir

Hasil produk nilai tinggi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Program Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) perlu dimanfaatkan sepenuhnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan penyelidik universiti tempatan bagi menghasilkan produk berdaya saing dan berinovasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau yakin program PPRN mewujudkan situasi menang-menang antara usahawan PKS dan penyelidik universiti dan kedua-duanya menerima manfaat bersama.

Beliau berkata, industri PKS perlu mewujudkan persaingan dan kunci kepada proses menghasilkan produk berinovasi, nilai tinggi dari segi kandungan dan teknologi serta mesra pelanggan.

“Sebagai contoh, produk iPhone 6 sangat besar permintaannya apabila pada hari pertama jualan ada orang sanggup tidur di tepi jalan supaya dia boleh menjadi pembeli pertama produk itu.

“Kenapa dan mengapa ia berlaku, ini kerana produk itu mempunyai nilai yang lebih tinggi dan berbeza serta berlainan dengan produk lain, jika letak pada harga tinggi sekali pun, orang tetap membeli produk itu.

“Malah, mereka yang dapat memiliki produk itu bangga kerana pada masa itu tiada orang lain yang berpeluang memilikinya,” katanya ketika berucap melancarkan Program PPRN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Najib berkata, faktor terbesar berjaya dalam persekitaran ekonomi adalah inovasi, justeru, negara perlu mengorak langkah ke hadapan bagi menghasilkan produk mempunyai nilai tambah yang tinggi.

Najib berkata, selama ini, industri tempatan masih bertumpu kepada perniagaan berasaskan aktiviti bernilai rendah dengan teknologi yang tidak begitu tinggi sehingga terpaksa bersaing mengeluarkan produk yang menawarkan produk dengan harga paling rendah.

Menurutnya, jika bersaing atas faktor harga saja ia menyebabkan pendapatan semakin menurun, sekali gus bersaing pada tahap agak rendah dari segi pulangan.

“Buat masa ini, negara mempunyai keupayaan 20,000 tenaga penyelidik di universiti tempatan yang mampu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi.

“Kita tidak boleh mengharapkan syarikat PKS mewujudkan bahagian inovasi mereka sendiri kerana ia menelan kos tinggi, jadi perlu ada program padan dan sesuai untuk PKS dan penyelidik ini bagi menghasilkan produk berinovasi dan berdaya saing tinggi,” katanya.

Sementara, Idris dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik antara industri dan sektor akademik asas terbaik untuk penyelidik memberi sumbangan kepada industri supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti dan seterusnya meningkatkan rantaian nilai ekonomi.

“PPRN dilihat sebagai pemangkin usaha mewujudkan ekosistem mesra pengetahuan di Malaysia menerusi penyelidikan gunaan.

“Inisiatif ini dirangka supaya aktiviti inovasi di seluruh institut pendidikan tinggi tempatan dan swasta ditumpukan selari dengan keperluan industri dan kehendak pasaran,” katanya.

Inisiatif PPRN diumumkan ketika pembentangan Bajet 2015 lalu sebagai strategi merancakkan pembangunan inovasi dan pengkomersialan hasil R&D negara.

Disiarkan pada: February 25, 2015 @ 9:27am
d