mutakhir

Patah tangan kerana RM50

Kuantan: Dua penuntut perempuan sebuah kolej di Batu 5, Jalan Gambang, di sini, berdepan detik cemas apabila diragut dua lelaki bermotosikal hingga menyebabkan kedua-dua mereka tersembam di atas jalan akibat terjatuh, di Taman Guru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, seorang mangsa luka pada badan manakala rakannya patah tangan dan mereka dibantu seorang wanita yang menjerit meminta bantuan penduduk taman berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu tersebar luas melalui Facebook (FB) yang turut memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selama lapan saat mendapat kecaman pelbagai pihak yang meminta polis segera mengambil tindakan terhadap dua peragut terbabit.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 20 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, dengan bantuan orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Memang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Saya sudah melihat rakaman CCTV itu dan terkejut melihat kedua-dua mangsa tersembam ke atas jalan selepas beg tangan seorang daripada mangsa direntap peragut terbabit,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada mangsa kerugian RM50 selepas wang tunai yang baru dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilarikan manakala seorang lagi mangsa tidak rugi.

Katanya, polis sudah mengarahkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan meningkatkan rondaan di tempat kejadian bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Polis akan bertemu dengan pemilik CCTV itu bagi membantu siasatan serta akan berusaha mengesan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek,” katanya.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut dan mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 25, 2015 @ 9:43am
d